Kopitiam di Malaysia Kopitiam

Kopitiam boleh dijumpai di merata tempat di Malaysia. Istilah kopitiam di Malaysia merujuk kepada kedai kopi Cina yang lazimnya hanya menawarkan sajian Cina Malaysia.

Kopitiam dalam zaman moden

Kebelakangan ini munculnya sejenis "kopitiam baharu". Kelarisan kopitiam bergaya lama serta minat masyarakat terhadap tema nostalgia serta kenaikan dalam pendapatan telah mencetuskan kebangkitan jenis pseudo-kopitiam ini. "Kopitiam baharu" ini merupakan kedai makanan segera yang menampilkan gaya kopitiam lama dari segi hiasannya, tetapi lazimnya dibina dalam latar yang lebih moden dan bersih seperti pusat beli-belah dan bukannya rumah kedai.

Trend kopitiam baharu juga dicetuskan setelah terhasilnya fenomena "budaya kopi" oleh rangkaian kedai kopi seperti Starbucks dan The Coffee Bean & Tea Leaf. Kopitiam ini menawarkan alternatif yang lebih mudah didapati yang mana budaya kopi boleh dinikmati dengan perisa tempatan dan harga yang lebih berpatutan.

Bagi menawarkan pengalaman kopitiam sejati, kopitiam baharu ini kebanyakannya menawarkan perisa kopi tempatan yang tulen, roti bakar kayu arang yang disajikan bersama mentega dan kaya dan telur rebus. Ada yang menawarkan lebih kepelbagaian makanan yang mana sajian khas sarapan, makan tengahari dan makan malam disediakan.

Peneraju kopitiam baharu di Malaysia merupakan syarikat berjenama Uncle Lim. Kebanyakan jenama lain mengikuti konsep ini, maka sehingga hari ini, terdapat tidak kurang daripada 100 jenama kopitiam baharu yang beroperasi di merata negara.